:
PENGENALAN


SEKOLAH RENDAH ISLAM (SERI) Al-UMMAH Manjung, ditubuhkan pada 2001. Sekolah ini merupakan salah satu dari rangkaian institusi dalam sistem pendidikan ABIM dan didaftarkan di bawah Jabatan Agama Islam Perak dengan nombor pendaftaran JAIPk/LP/MG.71/08. 

Pada mulanya SERI AL-UMMAH Manjung adalah sebagai cawangan dari Seri Al Ummah Ipoh. Guru besar yang pertama Saudara Suhaimi B Abd Latif. Penolong Kanan dipegang oleh Haji Mohd Yusof (Mantan Exco ABIM Manjung) beroperasi di bangunan No. 370, Batu 9 Lekir, 32020 Sitiawan di satu bangunan yang telah diwakafkan kepada ABIM.

Pada tahun 2002, Seri Al-Ummah Manjung telah berpindah ke Bandar Baru Seri Manjung bertempat di pejabat ABIM No. 1.2, Blok O, Fasa 1C3, Seri Manjung. Jawatan Guru Besar telah beralih kepada Tn Haji Mohd Nasir B Kamaruddin (Pengerusi Wadah Negeri Perak). Beliau berkhidmat sebagai guru besar sepanjang tempoh enam bulan. Jawatan guru besar selanjutnya disandang oleh Ustaz Haji Suwardi b Sapuan (Mantan Timbalan Pengarah Institut Teknologi Mara (ITM) di Seri Manjung.

Pada tahun 2007, ABIM Negeri telah memutuskan untuk melantik Ustaz Haji Wan Ahmad Puad b Wan Sulaiman (Pesara Penyelia Kanan Pendidikan Islam) sebagai guru besar SERI Al-Ummah Manjung menggantikan Ustaz Suwardi.

Pelajar yang bermula dari seramai 16 orang pada 2001, kini semakin bertambah sehingga jumlah terkini seramai 370 orang murid.

Pada tahun 2009, pihak sekolah telah dikurniakan sekeping tanah di Kg. Deralik untuk didirikan bangunan sekolah. Mulai dari tarikh itu, pihak pengurusan terus berusaha untuk mendapat sumbangan dari pelbagai pihak bagi menambak tanah dan mendirikan sebuah bangunan. Penambakan tanah bermula pada tahun 2009 sehingga pertengahan 2013. Pada pertengahan 2013, bermulalah pembinaan bangunan satu tingkat yang mengandungi 12 bilik darjah, mussola, dewan makan, pejabat, bilik guru, perpustakaan, bilik spbt dan tandas. Alhamdulillah pada bulan September 2014 bangunan asas sekolah dapat disiapkan dan perpindahan murid dilakukan bermula pada tarikh tersebut.

Terkini jawatan guru besar disandang oleh Ustaz Wan Ahmad Safwan b Wan Ahmad Puad dan dibantu oleh Guru Penolong Kanan, Puan Farah bt Suwardi. Antara kejayaan akademik yang dicapai pada tahun 2017, seorang murid memperolehi 6A untuk UPSR, seramai 23 murid memperolehi 8A untuk UPKK dan seramai 7 orang murid memperolehi 6A untuk Sijil Rendah Agama Islam (SRAI).